Page 13 - Buletin Citra 3/2023
P. 13
PERSONALITI JAPEN
Roskhadijah
ABADI KENANGAN DI SEBALIK LENSA
JURUFOTO ISTANA
Rose pernah ditegur oleh mantan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Sultan Abdul
Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah mengenai protokol di Istana Negara yang mana
Tuanku menitahkan beliau untuk belajar mengenai protokol istana, tatacara dan tutur bicara bahasa istana.
Maklumlah beliau baru sahaja seminggu berkhidmat di Istana Negara. Beliau juga berkongsikan pengalaman
menjadi jurugambar ‘bidan terjun’ apabila diamanahkan untuk mengambil potret rasmi mantan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad. Beliau pernah menyediakan album untuk Duli
Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan
Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan diserahkan kepada Tuanku semasa istiadat di Istana Perak.
Selain membuat liputan foto, suntingan dan album untuk pemimpin utama negara, Rose berkesempatan
untuk menyertai Simposium dan Fotografi Malaysian Press Photography Assosiation di Galeri Seni Pusat
Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur yang mana beliau berpeluang untuk mempamerkan foto-foto
terbaik sepanjang bertugas di Istana Negara.
Rose percaya bahawa setiap detik merupakan kenangan. Kenangan manis mahupun pahit kekal mekar
menjadi kenangan terindah apabila beliau berjaya melaksanakan sesuatu tugasan setelah menempuh
segala kepayahan dengan iringan dan doa daripada insan tersayang. Antaranya, ketika beliau bersama
dengan media antarabangsa yang lain, beliau ditempatkan di bawah kolong yang berdebu, gelap dan sempit
untuk merakam detik istiadat diraja luar negara. Beliau ketepikan segala kekurangan tersebut malahan ia
menjadi pengalaman terindah sepanjang perkhidmatannya. Pengalamannya ketika terlibat dalam Istiadat
Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad
dinukilkan dalam bentuk buku untuk projek Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.
13

