Page 13 - Buletin Citra 3/2024
P. 13
13
Bagaimana pasukan anda membuat
persiapan sebelum Istiadat
Pertabalan Yang di-Pertuan Agong
ke-17?
Jurufoto JAPEN melakukan persiapan
secara menyeluruh dengan menghadiri
raptai penuh istiadat. Raptai ini
memberi peluang kepada mereka
untuk memahami atur cara sebenar
dan mencari sudut-sudut terbaik
untuk merakam setiap momen
penting. Pengalaman jurufoto JAPEN
dalam acara-acara rasmi sebelum ini
memudahkan mereka merancang
dengan lebih efisien, menyesuaikan
peralatan dengan keadaan pencahayaan
dan jarak, serta mempersiapkan
diri menghadapi cabaran teknikal.
Kecekapan jurufoto JAPEN terletak
pada kemampuan meramal situasi
dan mengambil tindakan pantas
berdasarkan pengalaman dalam Istiadat
Pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang
lepas.
Apakah langkah yang perlu diambil
oleh jurufoto untuk memastikan
setiap momen penting semasa
istiadat pertabalan berjaya dirakam?
Kecekapan pasukan jurufoto
dalam membaca pergerakan majlis
membolehkan jurufoto berada di
lokasi strategik pada masa yang tepat.
Semasa raptai berlangsung, jurufoto
menggunakan pengalaman terdahulu
untuk mengenal pasti sudut terbaik
dan merakam momen-momen penting
seperti perarakan, titah diraja dan angkat
sumpah Yang di-Pertuan Agong. Mereka
juga berkoordinasi dengan pasukan
lain menggunakan sistem komunikasi
radio untuk memastikan tiada momen
penting terlepas.

