Page 8 - Jalur Gemilang
P. 8

Cadangan nama bendera yang dikemukakan perlulah dalam Bahasa Melayu,
        bersifat emotif, iaitu  boleh menggerakkan  semangat  dan  kesetiaan  kepada
        bangsa  dan  negara,  serta prosa-prosa yang menarik  dari zaman  lampau
        yang melambangkan keperwiraan, kesetiaan dan lain-lain.

        Pada 1 Julai 1996, urus setia telah mengemukakan 75 cadangan nama serta
        ulasan-ulasan  dengan huraian nama-nama  bendera yang dicadangkan oleh
        Ahli-ahli Jawatankuasa  untuk pemilihan.  Dari jumlah  tersebut, tiga nama
        telah disenarai pendekkan tetapi pada 11 September 1996, Jemaah Menteri
        dalam mesyuaratnya telah menolak  ketiga-tiga nama  tersebut kerana
        nama-nama yang dicadangkan itu tidak mempunyai kaitan atau huraian perihal
        bendera itu sendiri dan bersetuju agar cadangan nama baharu dikemukakan.

        Susulan daripada itu, 28 cadangan nama baharu daripada Ahli Jawatankuasa
        diterima untuk dipertimbangkan. Pada 2 Jun 1997, dalam mesyuarat yang
        dipengerusikan  oleh Ketua Setiausaha  Negara, tiga cadangan  nama  baharu
        bendera telah dipilih untuk dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan telah
        bersetuju bahawa  nama  baharu Bendera  Malaysia  ialah Jalur Gemilang
        yang dicadangkan oleh Encik Redzuan Tumin, pegawai daripada  Jabatan
        Muzium Negara dan Antikuiti.
        Pengisytiharan nama baharu  Bendera Malaysia iaitu Jalur  Gemilang telah
        diadakan  pada 31  Ogos  1997  sempena  sambutan  40  tahun kemerdekaan
        negara oleh Perdana Menteri Malaysia  keempat di Dataran Merdeka,
        Kuala Lumpur.

        MAKSUD LAMBANG DAN WARNA PADA
        JALUR GEMILANG

        Lambang jalur pada bendera  menggambarkan  satu laluan  yang lurus,
        hala tuju yang sama dan arah yang sama dianuti oleh rakyat negara ini.
        Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh
        itu,  Jalur Gemilang  melambangkan  kecemerlangan  negara dan  rakyat
        Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat
        dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.
        Warna merah pada jalur  melambangkan  kesanggupan,  keberanian,
        kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran.
        Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan.
        Warna biru pula melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai.
        Warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.




      8    Sumber: Jalur Gemilang. (2008). Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
   3   4   5   6   7   8   9   10   11   12   13