Page 42 - Infomesen Edisi 2/2025
P. 42
Infomesen | 42 Kebudayaan dan Kemasyarakatan
Pantang Larang dalam Masyarakat Cina
Pantang larang dalam masyarakat Cina merupakan sebahagian daripada adat dan kepercayaan yang diwarisi
turun-temurun. Ia mencerminkan nilai budaya, simbolik keberuntungan serta usaha menjaga keharmonian
dalam kehidupan seharian, terutamanya semasa perayaan dan upacara penting. Antara pantang larang
yang sering diamalkan termasuklah:
1. Membersihkan Rumah Semasa Perayaan. Pada hari pertama dan kedua Tahun Baharu Cina, amalan
menyapu atau membersihkan rumah adalah dielakkan. Ini kerana ia dipercayai akan ‘membuang’ tuah
dan rezeki yang baru tiba. Sekiranya terdapat serpihan barang yang pecah, ia akan dikutip dan disimpan
terlebih dahulu sebelum dibuang pada hari yang sesuai.
2. Memakai pakaian hitam ketika perayaan. Warna hitam lazimnya dikaitkan dengan suasana berkabung
dan kematian. Oleh itu, memakai pakaian berwarna hitam ketika sambutan perayaan adalah tidak sesuai
kerana ia bertentangan dengan semangat kegembiraan dan keceriaan yang ingin diraikan. Warna-warna
ceria seperti merah dan kuning lebih digalakkan kerana melambangkan tuah dan kebahagiaan.
3. Dilarang mencuci pakaian pada hari pertama Tahun Baru Cina. Kepercayaan ini bertujuan mengelakkan
‘membuang tuah’ yang dikatakan hadir pada hari pertama tahun baharu.
4. Meletakkan Penyepit Makanan Secara Menegak. Meletakkan penyepit makanan (chopstick) secara
menegak di dalam mangkuk nasi dianggap sebagai simbolik kepada upacara penghormatan kepada
si mati. Perbuatan ini menyerupai ritual kematian dan dipercayai membawa petanda buruk atau
mengundang nasib malang.
5. Bakal pengantin lelaki tidak dibenarkan bertemu dengan bakal pengantin perempuan sehari sebelum majlis
perkahwinan. Larangan ini bertujuan menjaga elemen kejutan dan keberkatan dalam majlis perkahwinan
menurut adat tradisional.
6. Tidak digalakkan memberi angpau kepada individu yang baru kehilangan ahli keluarga. Dalam tempoh
berkabung, pemberian angpau dianggap tidak sesuai kerana ia melambangkan kegembiraan dan
keberuntungan.
7. Kepercayaan terhadap simbolik nombor. Nombor 4 dalam dialek Mandarin disebut ‘shì’ yang menyerupai
sebutan bagi ‘mati’, manakala nombor 8 disebut ‘bā’ yang dikaitkan dengan kekayaan dan tuah,
menjadikannya nombor paling bertuah dalam budaya Cina.
8. Pemberian hadiah yang tidak sesuai. Ketika memberi hadiah kepada individu berbangsa Cina, terdapat
beberapa perkara yang perlu dielakkan. Pembalut hadiah berwarna putih tidak digalakkan kerana ia
melambangkan kesedihan dan kemiskinan. Hadiah seperti jam tangan dan topi hijau juga tidak sesuai
kerana ‘memberi jam’ dikaitkan dengan ritual pengebumian, manakala topi hijau merujuk kepada simbol
lelaki yang curang dalam sejarah Dinasti Ming. Selain itu, barangan tajam seperti pisau dan gunting turut
dianggap membawa maksud ‘memutuskan hubungan’ dan tidak sesuai dijadikan hadiah.
Pantang larang masyarakat Cina - Bakal pengantin lelaki tidak boleh berjumpa dengan bakal
pengantin perempuan sehari sebelum berkahwin. Gambar hiasan.

