Page 43 - Infomesen Edisi 2/2025
P. 43

Kebudayaan dan Kemasyarakatan                                                          43  | Infomesen












































              Pantang larang masyarakat Dayak (Iban, Bidayuh, Orang Ulu) - Dilarang bersiul di dalam rumah takut memanggil hantu
                                              atau roh – roh jahat. Gambar hiasan.

        Pantang Larang dalam Masyarakat Dayak (Iban, Bidayuh dan Orang Ulu)

        Pantang larang dalam masyarakat Dayak merupakan sebahagian daripada kepercayaan tradisional yang
        diwarisi turun-temurun. Ia bukan sahaja mencerminkan nilai spiritual dan penghormatan terhadap alam, tetapi
        juga berfungsi sebagai panduan sosial dalam menjaga keharmonian hidup. Antara pantang larang yang
        diamalkan termasuklah:

        1.  Dilarang bersiul di dalam rumah pada waktu senja dan sepanjang waktu malam. Bersiul dipercayai boleh
            memanggil roh-roh jahat atau makhluk halus ke dalam kediaman.

        2.  Tidak dibenarkan memakan buah embang/bambangan (embawang) di dalam rumah. Buah ini dianggap
            ‘panas’ dan dipercayai boleh mengundang gangguan jika dimakan dalam ruang kediaman.

        3.  Perlu mencalit tanah ke dahi apabila tiba di tempat baru. Amalan ini bertujuan sebagai tanda hormat
            kepada ‘penjaga’ atau roh tempat tersebut, serta untuk mengelakkan gangguan.

        4.  Meminta izin sebelum membuang air kecil atau besar di dalam hutan. Kebenaran harus dipinta secara
            berbisik atau dalam hati sebagai tanda menghormati ‘penghuni’ alam semula jadi.

        5.  Perlu menyahut pelawaan makan atau minum. Jika dijemput, seseorang hendaklah menerima pelawaan
            tersebut atau sekurang-kurangnya menyentuh makanan/minuman itu agar tidak ditimpa musibah seperti
            ‘puni’ atau kempunan.

        6.  Dilarang memakan daging buaya. Kepercayaan menyatakan bahawa buaya akan membalas dendam
            terhadap sesiapa yang memakan dagingnya.

        7.  Kanak-kanak dilarang berbaring sambil mendongak ke langit di kawasan lapang. Tindakan ini dipercayai
            boleh menyebabkan mereka ‘dipancing’ oleh makhluk halus dari langit.

        8.  Cili yang ditanam pada waktu tengah hari akan menjadi lebih pedas. Menurut kepercayaan, penanaman
            cili ketika cuaca panas terik akan menghasilkan buah yang lebih pedas.
   38   39   40   41   42   43   44   45   46   47   48