Page 23 - Infomesen Edisi 2/2025
P. 23
Pembangunan Ekonomi dan Sukan 23 | Infomesen
Zuhaily Jablin, atlet Sabah dalam acara badminton
ZUHAILY JABLIN: KEPIMPINAN DAN PENGORBANAN
Sementara itu, atlet badminton dari Sabah, Muhammad Zuhaily Jablin, 28, menyatakan bahawa Sarawak telah
menunjukkan contoh kepimpinan dalam penganjuran temasya.
Beliau turut menekankan bahawa segala aspek penganjuran dari segi logistik, kemudahan penginapan,
hinggalah ke pengurusan pertandingan dilaksanakan dengan penuh profesionalisme dan ia menjadikan
Sarawak sebagai penanda aras dalam menganjurkan temasya sukan bertaraf dunia.
“Saya sudah beberapa kali datang ke Kuching, tetapi ini kali pertama mewakili Sabah dalam Borneo
Games dan perasaannya sangat istimewa,” ujar beliau yang pernah menyertai SUKMA Perak 2018 dan mula
mewakili negeri sejak berusia 12 tahun.
Antara pencapaian tertinggi beliau ialah mara ke suku akhir dalam kejohanan Double Malaysia
International Series 2018 di Pulau Pinang, dengan peningkatan ranking dunia daripada lebih 1000 ke sekitar
600, satu pencapaian membanggakan buat atlet dari rantau Borneo.
Apa yang lebih mengagumkan, beliau tetap menyertai temasya ini walaupun sedang bekerja,
melanjutkan pengajian secara jarak jauh di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan menggalas tanggungjawab
sebagai seorang bapa kepada bayi berusia lapan bulan.
Secara keseluruhannya, Borneo Games 2025 di Kuching bukan sekadar mencatat rekod dan
kemenangan, ia mencipta sejarah perpaduan. Sarawak telah membuktikan bahawa sukan mampu menjadi
jambatan antara budaya, negeri dan generasi. Di gelanggang dan di luar, suara para atlet menjadi gema
harapan bahawa Borneo mampu bersatu, melangkah gagah dan terus menyemai semangat kekitaan yang
tulus, mendalam dan penuh bermakna.

