Page 6 - Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan
P. 6
PERUTUSAN
YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam
Malaysia MADANI.
Segala pujian dan setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan
ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan izin-Nya yang
memberi kita peluang dan kesempatan untuk meraikan
sambutan ulang tahun Hari Malaysia yang ke-60 pada tahun
ini.
Menjadi rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik, selain
menghayati detik-detik tanah air mengecapi kemerdekaan,
kita juga perlu mengambil iktibar tentang sejarah
pembentukan Malaysia, iaitu bumi bertuah yang kita diami
dengan aman, harmoni dan makmur.
Kejayaan negara mengecapi kemerdekaan disusuli
pembentukan Malaysia merupakan bukti tekad
kesungguhan pejuang-pejuang tanah air terdahulu yang
beriltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas, bermaruah
dan berdaulat. Oleh itu, nikmat penyatuan ini hendaklah terus dipertahan dan
dilestarikan dengan pelbagai agenda kebaikan demi rakyat.
Lantaran itulah Malaysia MADANI yang digagaskan kerajaan pada hari ini ditampilkan
sebagai visi baharu negara untuk melahirkan masyarakat yang maju, terampil dan
terangkum.
Dalam mencapai aspirasi Malaysia MADANI, pengamalan nilai murni yang
berteraskan Rukun Negara hendaklah dibudayakan tanpa mengira latar belakang
agama dan bangsa demi memperkukuhkan jati diri dan cinta kepada negara
bertepatan dengan cogan kata “Segulai Sejalai”.
Akhir sekali, syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah
bersama-sama berusaha menjayakan Sambutan Hari Malaysia ke-60 pada tahun ini.
Salam hormat
YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
6 SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2023

