Page 8 - Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan
P. 8
PERUTUSAN
YANG AMAT BERHORMAT KETUA MENTERI SABAH
Hari ini, 16 September 2023, kita menyambut ulang
tahun pembentukan Malaysia iaitu Hari Malaysia ke-60
tahun. Sesungguhnya, tanggal 16 September menjadi
tarikh keramat bagi rakyat Malaysia yang dirai setiap
tahun dengan semangat patriotik yang tinggi. Marilah
kita terus menjiwai peristiwa Hari Malaysia den-
gan penuh semangat patriotisme dan rasa kecintaan
terhadap negara Malaysia agar perpaduan, keamanan
serta keharmonian akan terus terpelihara dan
berkekalan di bumi bertuah ini.
Proses pembentukan Malaysia pada tahun 1963
bukanlah berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya atas
segala usaha dan keringat pemimpin-pemimpin
ketika itu menempuh pelbagai liku, rintangan dan
cabaran untuk merealisasikannya. Justeru menjadi
tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk
mempertahankan kedamaian, keharmonian dan
kemakmuran yang dikecapi kini.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan
Penuhi Harapan”, ini adalah aspirasi tekad dan
komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah
negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan
yang tinggi, bersatu padu serta kehidupan yang aman serta sejahtera. Selaras
dengan konsep Malaysia MADANI, ia adalah kunci utama rakyat mengecapi segala
bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya
cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan.
Alhamdulillah genap 60 tahun pembentukan Malaysia, negeri Sabah khususnya telah
mengecapi pelbagai pembangunan antaranya dari sudut ekonomi, infrastruktur dan
sektor pelancongan. Kerajaan negeri juga akan memanfaatkan sepenuhnya
persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam
memastikan tuntutan Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963
(MA63) dipenuhi serta dilaksanakan.
Kesatuan dan perpaduan antara rakyat adalah kunci kepada kejayaan negara.
Perpaduan juga aset paling penting dalam memperkukuh kedaulatan dan keamanan
negara terutama negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Semoga Malaysia
terus aman dan harmoni. Rakyatnya hidup bersatu padu dan saling bertoleransi.
Penglibatan rakyat Malaysia yang berbilang kaum tatkala sambutan Hari Malaysia
saban tahun mencerminkan perpaduan rakyat yang menjadi kunci kejayaan dan
kemakmuran negara selama ini. Hayati dan hargai setiap pengorbanan pemimpin
terdahulu serta jadikan peristiwa sejarah sebagai teladan dan pedoman terutamanya
kepada generasi yang akan datang untuk memacu Malaysia MADANI ke arah lebih stabil
dan maju.
Selamat Menyambut Hari Malaysia.
YAB DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI HAJI NOOR
8 SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2023

