Page 7 - Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan
P. 7

PERUTUSAN
                       YANG AMAT BERHORMAT PREMIER SARAWAK
              Assalamualaikum   Warahmatullahi   Wabarakatuh,    Salam
              Sarawak Maju Makmur dan Salam Malaysia MADANI.
              Pertamanya   marilah   kita  bersama-sama    merafakkan
              kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan inayah-Nya
              kita dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Malaysia
              2023 Peringkat Kebangsaan di Bandaraya Kuching, Sarawak
              pada tahun ini.
              Sesungguhnya    sambutan    Hari  Malaysia   2023   yang
              diadakan pada tahun ini cukup meriah dan kami warga
              Kuching   khususnya   amat    berbesar  hati   menerima
              kunjungan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga
              rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia dan Negeri Sabah
              bagi kita bersama-sama mengingati serta merayakan detik
              bersejarah  tanah  air  kita  yang  berlaku  60  tahun  yang  lalu.
              Pada ketika itulah termeterainya perjanjian yang menyatukan
              dua wilayah di Pulau Borneo dan Tanah Melayu untuk
              membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan
              merdeka.
              Pada detik yang sungguh bermakna ini, saya ingin mengajak
              seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghayati tema
              Hari Malaysia yang diangkat pada tahun ini iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan
              Penuhi Harapan”.

              Pada hemat saya tema yang sama dipilih bagi Sambutan Hari Kebangsaan tahun 2023
              ini sebagai suatu usaha mengajak seluruh rakyat menghayati erti pemikiran serta dasar
              pembangunan bangsa merdeka yang berjaya, yang memiliki budaya ketamadunan
              yang tinggi serta menjadikan perpaduan serumpun sebagai teras utama melakar
              kejayaan dalam arus kemodenan tanpa sempadan pada masa kini.Ia adalah suatu
              panggilan kepada semua rakyat Malaysia untuk duduk sama rendah dan berdiri sama
              tinggi berteraskan rasa hormat-menghormati antara sesama insan dalam apa jua
              situasi yang berlaku untuk membina masa hadapan negara yang gemilang.
              Di Sarawak, semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum merupakan
              perkara pokok yang sentiasa diambil kira dalam pada melontarkan apa jua idea dan
              pandangan dalam usaha bergerak maju ke hadapan. Terma “Segulai Sejalai” menjadi
              asas bagi mewujudkan persefahaman  antara satu sama lain supaya semua rakyat
              tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama dapat sama-sama menikmati
              kemajuan dan kemakmuran bumi bertuah ini.

              Saya amat berharap dan  berdoa agar Malaysia  kita terus maju dan  melangkah
              berani ke hadapan dengan semangat kesatuan bangsa yang jitu supaya negara terus
              dihormati dan disegani di arena serantau dan antarabangsa. Semoga Malaysia
              amnya dan Sarawak khususnya terus dipelihara oleh Allah SWT dengan kebaikan dan
              kemakmuran yang berterusan serta dipermudahkan segala urusan dalam
              membangunkan Malaysia ke aras yang lebih tinggi serta terus gemilang dengan
              kejayaan.

              Selamat Hari Malaysia yang ke-60 Tahun. Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum
              Warahmatullahi Wabarakatuh.

              YAB DATUK PATINGGI TAN SRI (DR.) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN
              TUN DATUK ABANG HAJI OPENG


                                                                    SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2023    7
   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11   12