Page 11 - KOD ETIKA WARTAWAN MALAYSIA
P. 11
4. Pemberitaan tidak boleh dipengaruhi oleh kepentingan peribadi
Hubungan baik antara wartawan dengan syarikat atau pemegang
taruh berkepentingan perlu mempunyai batas. Wartawan tidak boleh
menerima rasuah, hadiah atau faedah yang boleh mempengaruhi
laporan berita secara langsung atau tidak langsung. Mereka perlu
menghindari konflik berkepentingan dan situasi yang membolehkan
hubungan peribadi mempengaruhi pelaporan.
5. Kesahihan dan ketepatan maklumat perlu disemak
Media hendaklah terhindar daripada menerbitkan atau menyiarkan
bahan yang tidak tepat, tidak berasas, bertujuan memperdaya
atau memutarbelitkan fakta. Dalam hal ini, wartawan, editor dan
pengamal media perlu memastikan semua informasi disemak
dengan teliti untuk memastikan ketepatannya.
6. Wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber
Wartawan perlu cakna terhadap prinsip privasi dan kerahsiaan
sumber kerana boleh menyebabkan keselamatan sumber terancam
sekiranya hak ini tidak dihormati. Walau bagaimanapun, jika terdapat
sebab yang kukuh atau demi kepentingan awam, media hendaklah
membuat pertimbangan berdasarkan keperluan masyarakat untuk
mendapatkan maklumat berbanding kemungkinan berlakunya
kemudaratan terhadap sumber tersebut.
7. Wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang
berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka
Wartawan perlu membuat kawalan kendiri dengan sukarela dan
bebas semasa membuat liputan. Walau bagaimanapun, pemahaman
terhadap undang-undang, akta di Malaysia serta Kod Tatakelakuan
Media Malaysia perlu dijadikan panduan untuk memastikan
kebebasan tersebut tidak disalah erti.
6

