Page 10 - KOD ETIKA WARTAWAN MALAYSIA
P. 10
1. Wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk
serta ejen pemudah cara dialog
Media berperanan memberikan sumbangan positif dan menyiarkan
informasi daripada pelbagai sudut pandang yang dapat membantu
membina pemikiran masyarakat serta mendorong perbincangan
yang sihat, bersandarkan kepercayaan tentang kesedaran umum
dan toleransi sivik.
2. Wartawan hendaklah telus dan berintegriti ketika menjalankan
tugas
Media bertanggungjawab untuk membuat laporan dengan tepat dan
menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang
adil, tepat dan benar. Proses pengumpulan maklumat perlu telus,
kecuali jika terdapat alasan yang kukuh atau untuk kepentingan
awam. Jika terdapat kesalahan dalam pelaporan, permohonan maaf
dan pembetulan perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan
sebaran informasi yang tidak benar. Selain itu, kredit harus diberikan
kepada sumber asal salinan atau petikan daripada bahan yang telah
diterbitkan sebelum ini, gambar atau rakaman video yang diterima
daripada pihak lain, serta segala bentuk terjemahan yang digunakan
oleh wartawan dalam penghasilan laporan.
3. Wartawan digalakkan berusaha secara konsisten untuk adil dalam
menyampaikan informasi
Menghormati kepelbagaian pandangan daripada pelbagai lapisan
masyarakat, budaya, kaum, etnik dan agama dan tidak bersifat
prasangka, stereotaip atau prejudis semasa mendapatkan
maklumat dan menyediakan laporan yang adil merupakan sifat
yang perlu ada dalam diri setiap wartawan. Semasa menyediakan
laporan, wartawan perlu memberikan peluang kepada semua pihak
untuk memberikan pengesahan, penafian atau penjelasan terhadap
maklumat berkaitan diri atau organisasi yang bakal diterbitkan.
5

