Page 15 - Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 2023
P. 15
SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1445H BERSAMAAN 2023M
Ulasan Tema
“Perpaduan Teras Malaysia Madani”
Mukadimah
Perpaduan merupakan tunjang kepada Masyarakat Madani, yang maju bukan hanya dari segi kebendaan
tetapi juga fikrah dan kerohanian. Sekiranya Allah berkehendak, nescaya semua manusia dijadikan-Nya
satu umat sahaja, namun sebaliknya Allah hendak menguji manusia dengan mencipta segala
kepelbagaian. Justeru wujud kepelbagaian keupayaan dan keinginan, profesion dan pekerjaan; dan
manusia diseru agar berlumba-lumba berbuat kebajikan, bukan merosakkan dan bermusuhan antara
satu dengan yang lain.
Perbezaan gender dan kepelbagaian bangsa diberikan matlamat yang mulia dalam ayat universal surah
al-Hujurat, 49: 13 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia. Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan
Kami telah menjadikan berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)”
Ukuran Kemuliaan: Ilmu, Akhlak dan Jasa
Kriteria kemuliaan ialah ketaqwaan, yang terdiri daripada ilmu, akhlak, adab dan jasa ikhlas membangun
peradaban bangsa. Kuasa, pangkat, harta dan warna kulit bukan ukuran Islam. Dalam praktis Nabi
SAW dan para sahabat di Madinah, tidak wujud penganiayaan berdasarkan kaum kelahiran atau warna
kulit. Bahkan sejarah merakamkan bagaimana seorang Islam yang berkulit coklat dan berhidung pesek
mungkin saja meraih taqwa, kemuliaan, dan kepimpinan masyarakat Madinah, seperti Bilal bin Rabah.
Seorang bekas abdi kulit hitam yang bernama Zayd bin Harithah pula telah dimerdekakan oleh Rasulullah
SAW, dan diambil sebagai anak angkat. Hasil perkahwinannya dengan Umm Ayman Barakah yang juga
bekas hamba yang dimerdekakan lahirlah seorang putera yang bernama Usamah. Beliau dilantik Nabi
SAW menjelang kewafatannya sebagai pemimpin kepada angkatan tentera yang membariskan tokoh
ternama Quraisy seperti Saidina Abu Bakar, Saidina ‘Umar, Khalid ibnul Walid, Abu ‘Ubaydah, Talhah,
dan Zubayr.
14

