11
Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ialah
‘Malaysia #sehatisejiwa’ yang diumumkan pada
Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan
2015 di Dataran Merdeka pada 7 Jun lalu. Tema
‘sehati sejiwa’ dipilih bagi melambangkan semangat
kesepaduan yang dimiliki oleh semua rakyat
tidak kira di mana mereka berada. ‘Sehati sejiwa’
boleh diertikan sebagai satu ikatan hubungan dan
kebersamaan. Ia mencerminkan roh kesepaduan,
kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh
rakyat di negara ini.
Perasaan ‘sehati sejiwa’ ini penting diamalkan
kerana ia berupaya mewujudkan kestabilan nasional
dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. ‘Sehati
Sejiwa’ mampu mencetuskan sentimen kebersamaan
dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, budaya
dan amalan agama. Ia akan mendorong wujudnya
hubungan yang saling menguntungkan serta
mampu mencegah berlakunya perbalahan antara
kaum yang merugikan negara.
‘Sehati sejiwa’ dapat mewujudkan kehidupan
masyarakat yang harmoni dan seimbang dalam
pergaulan antara kaum yang lebih akrab di mana
kepelbagaian atau keberagaman budaya yang wujud
tidak menjadi masalah hubungan etnik masyarakat
negara ini. Malah, keberagaman yang ada mampu
menjadi modal kekuatan bagi bangsa Malaysia untuk
menjadi bangsa yang kuat. Maknanya, perasaan
‘sehati sejiwa’ mampu memperkukuh proses
perpaduan dan integrasi nasional.
Syarat integrasi menuntut anggota masyarakat
merasa bahawa mereka saling bertoleransi,
bersefahaman dan bersepakat untuk bersama-sama
berpegang kepada norma dan nilai-nilai kenegaraan
yang dapat membentuk satu bangsa Malaysia yang
bersatu padu dan berkeperibadian . Keperibadian dan
pandangan hidup kebangsaan yang sama berasaskan
kepada ideologi kebangsaan - Rukun Negara - akan
membentuk jiwa dan semangat solidariti yang kuat
serta mewujudkan rasa patriotisme dan nasionalisme
yang tinggi terhadap negara ini.
Malah, perasaan ‘sehati sejiwa’ ini dapat
dizahirkan dalam situasi negara berhadapan dengan
sebarang bencana seperti yang pernah ditunjukkan
oleh rakyat pelbagai kaum dalam tragedi kehilangan
pesawat MH370, tragedi MH17, banjir besar yang
melanda kawasan Pantai Timur dan gempa bumi
yang berlaku di Sabah.
Kesimpulan, kefahaman dan penghayatan
terhadap tema ‘sehati sejiwa’ bagi sambutan Hari
Kebangsaan 2015 mampu meningkatkan komitmen
seluruh rakyat untuk bersatu dan mempertahankan
negara ini daripada sebarang ancaman. Ia juga
sebagai pendorong kepada usaha meneruskan
agenda pembangunan negara, terutamanya dalam
melonjakkan daya usaha bagi mencapai negara maju
berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
M
‘Sehati sejiwa’ boleh diertikan sebagai
satu ikatan hubungan dan kebersamaan.
Ia mencerminkan roh kesepaduan,
kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan
seluruh rakyat di negara ini.




